EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian bercakap kepada media selepas menghadiri Pesta Budaya dan Warisan Chap Goh Mei Kajang di Jalan Mendaling, Kajang pada 5 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: 11 rumah Orang Asli dikenal pasti untuk naik taraf, bina semula

KAJANG, 5 FEB: Kerajaan Selangor mengenal pasti sebanyak 11 rumah Orang Asli di negeri ini untuk dibaik pulih dan dibina baharu pada tahun ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata kediaman terbabit yang kebanyakannya terletak sekitar Hulu Langat dan Dusun Tua perlu melalui proses terbabit berikutan terlalu uzur.

“Pembinaan atau pembaikan setiap rumah berkenaan menelan kos sekitar RM85,000. Kita mengutamakan kediaman yang sudah usang dan rosak teruk.

“Kita telah berbincang dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk melaksanakan pembinaan baharu rumah Orang Asli. Ada (rumah) yang dua dan tiga bilik,” katanya.

Beliau ditemui media pada Pesta Budaya dan Warisan Cap Goh Mei Kajang di tapak parkir Jalan Mendaling di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata pihaknya juga sedia mempertimbang untuk menambah peruntukan bagi tujuan berkenaan berikutan permohonan ramai.

“Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta setahun untuk melakukan projek ini dan permintaan memang sentiasa ada. Jadi kalau ada keperluan kita akan naikkan peruntukan bergantung kepada bajet,” katanya lagi.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM1 juta bagi menyediakan tempat kediaman selesa dan selamat kepada masyarakat Orang Asli melalui projek baik pulih dan pembinaan baharu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan dokumen itu memaklumkan perumahan sempurna impian semua lapisan masyarakat di negeri ini.


Pengarang :