EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berucap ketika majlis Pelancaran Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana, Ampang Jaya pada 4 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Bantuan ehsan RM300,000 untuk 15 pemilik rumah terjejas tanah runtuh

AMPANG JAYA, 4 FEB: Kerajaan Selangor bersetuju memberi bantuan ehsan RM300,000 kepada 15 pemilik  kediaman di Taman Bukit Permai 2 dekat sini yang terjejas susulan insiden tanah runtuh Mac tahun lalu.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata pihaknya juga menawarkan pembelian Rumah Selangorku kepada pemilik berikutan kediaman asal di kawasan terbabit sudah tidak selamat diduduki.

“Kita akan panggil pemilik rumah berkenaan dalam masa terdekat untuk memberikan tawaran ini termasuk Rumah Selangorku yang berharga sekitar RM200,000.

“Duit ehsan (RM300,000) lebih daripada cukup untuk mereka beli Rumah Selangorku, namun itu terpulang kepada pemilik mahu beli atau sebaliknya,” katanya di Dewan Komuniti Taman Nirwana hari ini.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim (empat, kanan) merasmikan Majlis Pelancaran Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana, Ampang Jaya pada 4 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bercakap pada sidang media pelancaran Jelaja Ehsan Rakyat 2.0, Izham berkata notis pengosongan rumah sudah dikeluarkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya kepada pemilik terbabit.

Wakil rakyat Pandan Indah turut difahamkan empat daripada 15 keluarga sudah mengosongkan kediaman mengambil kira lokasinya yang berisiko dan mengancam keselamatan.

“Kesemua rumah terbabit akan dirobohkan sebab ia memberi kesan kepada tanah dan tebing. Jika dibiarkan dikhuatiri membawa kesan jangka panjang tidak bagus.

“Kita akan jadikan tempat itu ‘buffer’ (penampan) untuk memastikan bahawa tiada bangunan dibina di kawasan itu. Itu keputusan Kerajaan Negeri,” jelasnya.

Keadaan rumah yang ditimpa kejadian tanah runtuh pada tahun lalu di Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 9 Januari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pada 9 Januari lalu, Izham berkata 15 unit rumah di situ yang terkesan susulan diisytihar tidak selamat kerana berada terlalu dekat dengan tebing selain berlaku keretakan struktur bangunan.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang Mac tahun lalu meragut empat nyawa, seorang cedera ringan selain 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.


Pengarang :