AMPANG, 4 FEB: Sejumlah RM1.4 juta nilai jualan dicatat dalam tempoh dua minggu penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 di lebih 100 lokasi seluruh negeri.
EXCO industri asas tani menjelaskan program jualan murah barangan asas kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberi penjimatan lebih RM400,000 kepada rakyat sejak 15 Januari lalu.
“Dengan perbelanjaan sekitar RM12 juta termasuk kos subsidi, kita mampu menawarkan barangan keperluan asas 30 peratus lebih murah berbanding pasaran kepada rakyat.
“Alhamdulillah, penganjurannya tahun lepas berjaya maka tahun ini kita teruskan di sembilan lokasi setiap hari dan enam hari seminggu. Sepanjang dua minggu ini kita meraih RM1.4 juta nilai jualan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau bercakap pada sidang media pelancaran JER 2.0 di Dewan Komuniti, Taman Nirwana di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Terdahulu, Izham yang juga Ahli Dewan Negeri Pandan Indah turut meninjau dan membantu program jualan yang sedang berlangsung di situ.
Pada 13 Disember lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan sebanyak RM10 hingga RM15 juta disediakan bagi meneruskan JER selama tiga bulan.
Program jualan murah itu menawarkan produk seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).
Turut dijual ikan kembung atau selayang dengan harga RM6 per pek, minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10)