AMPANG, 4 FEB: Jelajah Ehsan Rakyat (JER) 2.0 yang menawarkan barangan asas murah berbanding harga pasaran diperluaskan ke 1,200 lokasi seluruh Selangor mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.
Menyeru rakyat memanfaatkan peluang itu, EXCO industri asas tani berkata jualan kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berada di sembilan lokasi setiap hari kecuali Jumaat.
“Apabila kita lihat dan kaji semula program JER, kita dapati sambutan sangat menggalakkan dengan anggaran dua juta rakyat mendapat manfaat tahun lepas.
“Jadi tahun ini kita buat keputusan teruskan jualan seumpama ini melibatkan lebih banyak lokasi sehingga menjelang Mei,” kata Ir Izham Hashim menambah 711 lokasi JER diadakan tahun lepas.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran JER 2.0 di Dewan Komuniti Taman Nirwana di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Dalam pada itu, Izham memaklumkan akan meneliti keperluan meneruskan JER selepas Mei memandangkan program terbabit bersifat sementara yang bertujuan meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.
“Insya-Allah kita akan tengok kewajaran sama ada akan sambung atau sebaliknya sebab ia adalah program intervensi dan bukan program jangka panjang. Jadi kita lihat kepada keperluan.
“Kita percaya program ini sedikit sebanyak membantu rakyat kerana barangan keperluan asas sangat penting walaupun pada awalnya dulu kita mulakan dengan ayam dan telur ayam sahaja sebelum penambahan produk lain,” katanya.
JER menawarkan produk seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).
Turut dijual ikan kembung atau selayang dengan harga RM6 per pek, minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
