EXCO Wanita dan Pembangunan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud bergambar bersama peserta selepas menyerahkan surat tawaran kursus kemahiran kepada lapan belia orang kelainan upaya (OKU) di Rumah Amal Cheshire, Selayang pada 2 Februari 2023. Foto Facebook Dr Siti Mariah
EXCOSELANGOR

EXCO: Lapan belia OKU ditawar ikuti kursus kemahiran, tingkat peluang jana pendapatan

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 5 FEB: Seramai lapan belia orang kelainan upaya (OKU) menerima tawaran mengikuti kursus bakeri dan jahitan melalui program Pusat Sokongan Kehidupan Berdikari (ILCS).

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata inisiatif yang ditawarkan melalui Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) itu dijalankan di Rumah Amal Chesire, Selayang minggu depan.

“Suka untuk saya sebutkan selepas mengikuti sesi pengajian maksimum enam bulan para pelajar akan dianugerahkan sijil yang setara dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3.

“Mereka juga mendapat jaminan pekerjaan mengikut kursus yang telah diikuti,” kata Dr Siti Mariah Mahmud menerusi Facebook.

Surat tawaran mengikuti kursus kemahiran diserahkan sendiri oleh Dr Siti Mariah kepada pelajar berusia 18 hingga 25 tahun dalam majllis di Rumah Amal Cheshire pada 2 Februari lalu.

Beliau berharap inisiatif tersebut memberi manfaat kepada golongan OKU lepasan sekolah untuk meneruskan kehidupan secara normal dan mendapat pekerjaan yang baik.

“Insya-Allah mereka akan dibekalkan dengan kemahiran tertentu bagi mendepani cabaran kerja untuk kelangsungan hidup pada masa akan datang,’’ ujarnya.

Kerajaan Negeri memperuntukan RM1 juta bagi menjayakan ILCS. Program yang menawarkan kursus kemahiran seperti jahitan, bakeri, pengurusan pejabat, teknologi digital dan kecerdasan buatan bertujuan meningkatkan peluang pekerjaan golongan tersebut.

Pada 16 Ogos tahun lepas, Dr Siti Mariah berkata Selangor bercadang mewujudkan ILSC di setiap daerah bagi memberi latihan dan kemahiran kepada golongan OKU.

 

 


Pengarang :