EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud berucap ketika perasmian Forum Sembang Sihat “Bagaimana pemakanan mempengaruhi kesihatan anda” anjuran Beauty With Brain (5A) di Galabites Lounge, Bukit Jelutong pada 11 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Lebih lima pusat kebajikan terima geran, bantu tingkat operasi

SHAH ALAM, 11 FEB: Kerajaan Negeri meluluskan Geran Rumah Perlindungan bawah Wanita Berdaya Selangor (WBS) kepada lebih lima pengendali pusat kebajikan yang berdaftar.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata permohonan geran yang tamat pada akhir Disember tahun lalu itu merupakan inisiatif Kerajaan Selangor untuk membantu menambah baik rumah perlindungan wanita dan kanak-kanak.

“Kita sudah kenal pasti dan meluluskan kurang daripada 10 rumah perlindungan yang mahu manfaatkan geran tersebut.

“Prosesnya agak rumit sedikit kerana kita perlu pastikan mereka yang memohon ini berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beroperasi dengan betul,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perasmian Forum Sembang Sihat Wanita Berdaya Selangor di Pusat Komersial Radia Bukit Jelutong di sini, hari ini.

Sejumlah RM200,000 diperuntuk menerusi Geran Rumah Lindungan bagi membantu melancarkan operasi pusat jagaan itu.

Ia bertujuan menambah baik fasiliti dalam premis atau perkhidmatan berkaitan serta pembelian aset untuk kemudahan penghuni rumah perlindungan.

Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk program latihan tenaga kerja rumah perlindungan bagi mengendalikan isu keganasan rumah tangga selain membina kapasiti dan kemahiran pemandiri penghuninya.


Pengarang :