Pemilik bersama Durian Atok Md Yasin Arsad 67 (kanan) membantu menyediakan Menu Rahmah “Durian” yang berharga RM4.99 ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Jalan Kebun Seksyen 30 Shah Alam. – Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

EXCO: Selangor cadang perluas inisiatif Menu Rahmah

SHAH ALAM, 21 FEB: Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenal Kerajaan Persekutuan akan diperluas di peringkat negeri bagi memanfaatkan rakyat Selangor, kata EXCO industri asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pihaknya telah berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk melaksanakan inisiatif tersebut.

“Saya telah bertemu dengan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk selaraskan Menu Rahmah agar dapat diperluas di peringkat Kerajaan Negeri.

“Saya melihat Menu Rahmah ini merupakan projek yang boleh kekal walaupun keuntungan tidak banyak berbanding pemberian subsidi sekadar seketika sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama, Izham turut menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri supaya sertai inisiatif menjual Menu Rahmah.

“Kita galakkan setiap PBT jual Menu Rahmah kerana beri manfaat kepada ramai dan mampu kurangkan beban kos hidup,” katanya.

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan Menu Rahmah yang menawarkan hidangan makanan pada harga RM5 dan ke bawah khusus untuk golongan miskin tegar.


Pengarang :