SHAH ALAM, 6 FEB: Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang sentuhan akhir Allahyarham Pitt Hanif merupakan karya yang mengangkat nama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia Laksamana Madya (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata penceritaan filem itu adalah realiti sebenar agensi itu walaupun ada sebahagiannya fiksyen.

“Filem ini menaikkan nama baik Maritim Malaysia dan berharap agensi lebih dikenali. Terima kasih kepada pihak yang menganjurkan tayangan khas.
“Orang ramai perlu datang menonton kerana apa ditayangkan ia dilakukan sendiri oleh Maritim Malaysia dan ada sebahagian lagi fiksyen supaya cerita lebih menarik,” katanya.

Beliau berucap pada program tayangan khas filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang yang turut dihadiri wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri.
Filem bergenre aksi itu diterbitkan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production.
Ia dibintangi Saharul Ridzwan dan Julia Farhana Marin selaku teraju utama selain menampilkan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Datuk Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis dan Wanna Ali.

Penggambaran filem itu mengambil masa 55 hari bermula dari 3 Ogos hingga 24 Oktober 2019 membabitkan lokasi penggambaran 65 peratus di kawasan laut dan pulau di sekitar Pulau Langkawi, Kedah serta di Pahang.