AGENDAJENAYAH

Fitnah anggota polis trafik di TikTok, seorang lelaki ditahan bantu siasatan

KANGAR, 6 FEB: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes memuat naik sebuah video berunsur fitnah ke atas anggota polis trafik menerusi akaun TikTok.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata penarik baja berusia 39 tahun itu ditahan pada Sabtu lepas dan direman hingga esok bagi siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Lelaki itu ditahan di rumahnya di Jitra, Kedah dan hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata klip video berdurasi 35 saat atas pemilik akaun @manbajanaw9438 itu memaparkan tiga anggota trafik sedang melakukan pemeriksaan rutin di Jalan Kangar-Alor Setar berhampiran lampu isyarat Simpang Ampat, Perlis.

Katanya anggota trafik tersebut membuat pemeriksaan dan mengeluarkan empat saman ke atas lori lelaki itu manakala punca kejadian dipercayai lelaki terbabit tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan terhadapnya.

“Video yang dimuat naik oleh lelaki itu adalah berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana terdapat beberapa komen negatif orang ramai berkenaan video tersebut yang boleh menjatuhkan maruah serta imej anggota polis trafik dalam video itu,” katanya.

Yusharifuddin sehubungan itu menasihatkan masyarakat supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mendatangkan kebencian terhadap pihak berkuasa, khususnya melalui media sosial.

Beliau berkata tindakan tersebut boleh menyebabkan tersebarnya kenyataan yang tidak berasas sehingga boleh menghakis keharmonian antara masyarakat dan agensi penguat kuasa.

Katanya mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil oleh penguat kuasa khususnya pasukan PDRM, boleh mengemukakan aduan dengan menggunakan saluran yang betul.

— BERNAMA

 

 


Pengarang :