Pasukan MAS-10 di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) terdiri daripada Pasukan SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia melakukan operasi mencari dan menyelamat akibat gempa di Nurdagi, Gaziantep, Turkiye pada 11 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gempa bumi Turkiye: Keluarkan mayat wanita hamil pengalaman menyayat hati anggota bomba Perlis

KANGAR, 27 FEB: Mengeluarkan mayat wanita mengandung di bawah runtuhan bangunan kediaman di Nurdagi, Gaziantep, merupakan detik menyayat hati yang tidak boleh dilupakan oleh Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Shahidan Abd Razat, 34.

Anak jati Kuala Kangsar, Perak itu yang baru lima bulan berkhidmat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis adalah antara 140 yang menyertai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye pada awal bulan ini.

Menceritakan pengalaman pertamanya ditugaskan dalam operasi SAR di luar negara, bapa kepada empat anak itu berkata hatinya tersentuh apabila melihat seorang lelaki tempatan meraung kesedihan selepas pasukan penyelamat membawa keluar mayat isterinya dari runtuhan bangunan.

“Lelaki tersebut meminta kebenaran daripada pasukan penyelamat untuk melihat buat kali terakhir wajah isterinya dan meraung kerana tidak dapat menahan perasaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tahunan JBPM Perlis di sini hari ini.

Mohamad Shahidan yang pernah beberapa kali terlibat dalam misi SAR termasuk kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, Disember lepas berkata walaupun terkesan dengan situasi itu, beliau perlu bersikap profesional dan menjalankan tugas tanpa diselubungi perasaan yang mampu menggugat penugasan.

Beliau yang telah berkhidmat selama 15 tahun dengan JBPM berkata cabaran paling besar dihadapinya ketika berada di Turkiye adalah terpaksa ‘berperang’ dengan cuaca sejuk melampau selain perlu mengikat perut.

“Pada waktu tengah hari, suhu adalah sekitar empat hingga enam darjah Celsius sahaja sebelum menurun antara -10 hingga -12 darjah Celsius pada sebelah malam, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk membantu mangsa,” katanya.

Beliau berkata pasukan SMART disegani oleh pasukan negara lain kerana berjaya mengesan ramai mangsa.

“Penduduk tempatan amat menghargai anggota kita dan mereka berkongsi makanan seperti roti walaupun dilanda bencana,” katanya yang berada di Turkiye dalam misi selama 16 hari bermula 8 Feb.

Menurut Mohamad Shahidan, pasukan SMART berjaya membawa keluar 50 mangsa gempa bumi berkenaan dengan lima daripadanya ditemukan masih hidup.

– BERNAMA


Pengarang :