Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan Reformasi Pendidikan untuk kesejahteraan masa depan Malaysia di Unisel Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Generasi muda perlu bangkit sebagai kekuatan baru negara, tolak fahaman jumud, kolot

KUALA SELANGOR, 9 FEB: Perdana menteri berkata sudah tiba masa untuk generasi muda bangkit dengan satu kekuatan sekali gus menolak fahaman jumud dan kolot yang merugikan bangsa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berikutan itu kerangka pemikiran mesti berteras kepada dasar kekuatan serta menekankan nilai kemanusiaan seiring dengan kemajmukan masyarakat di negara ini.

“Anak-anak Melayu yang pintar bersama anak-anak Cina, India, Iban, Kadazan bangkit sebagai kekuatan bangsa yang mempertahankan akidah.

“Pertahankan nilai, pertahankan akhlak, pertahankan kebenaran dan keadilan. Bangkit sebagai kekuatan baharu masyarakat madani di Malaysia,” katanya bersyarah pada program Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor (Unisel) kampus Bestari Jaya hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat cenderamata daripada Presiden Unisel, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman (dua kiri) sambil diperhatikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua kanan) selepasa syarahan Reformasi Pendidikan untuk kesejahteraan masa depan Malaysia di Unisel Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Anwar berkata kerangka pemikiran tidak hanya menyatu padu dan mengutuhkan rakyat sebaliknya turut memberi keyakinan kepada bangsa dan agama selain membawa kekuatan negara dan kemanusiaan.

“Kita bicara soal madani, pertumbuhan, reformasi pendidikan. Apakah kerangka pemikiran dasarnya? Jika tidak ada, kita hanya menerobos, meminjam. Apa identitinya yang akan menjadi pegangan kita yang boleh membawa perubahan dalam negara kita.

“‘Guiding ideas’ mesti berteraskan kepada keyakinan sama ada menggunakan istilah akidah, ideologi atau doktrin. Kemudian diterjemahkan dalam bentuk dasar yang berdasarkan nilai dan akhlak.

“Ini kekuatan Siddiq Fadzil (Allahyarham Dato’ Dr Siddiq Fadzil) yang membicarakan soal Islam dan Melayu. Dia memilih untuk menjelaskan semula dalam karya kecil tetapi bernilai,” katanya.


Pengarang :