Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas majlis dialog belanjawan 2023 ‘Membangun Malaysia Madani’ di Kementerian Kewangan pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN terima lebih 50 peratus sokongan Melayu di Selangor pada PRU15

SHAH ALAM, 6 FEB: Pakatan Harapan (HARAPAN) menerima lebih 50 peratus sokongan Melayu di Selangor pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

Pengerusinya berkata angka tersebut diperoleh menerusi analisis awal kajian selain menolak dakwaan bahawa gabungan itu tidak mendapat sokongan kaum terbabit.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara keseluruhan 31 peratus pengundi Melayu menyokong HARAPAN dengan lebih 50 peratus di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur tertinggi.

“Memang ada kawasan yang rendah sokongan seperti di Kelantan dan Terengganu tetapi tidak benar seperti yang diuar-uarkan kononnya HARAPAN hanya dapat 19 peratus sokongan Melayu.

“Kalau sebanyak itu tidak mungkin kita mendapat kerusi sepertimana yang dicatat dalam PRU15,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah perdana menteri jika dikumpul dengan sokongan yang diperoleh daripada parti dalam kerajaan perpaduan, pentadbirannya menerima sokongan 2/3 daripada keseluruhan undi PRU15.

“Kita yakin dengan 2/3 ahli parlimen dan sokongan pengundi, kita dapat mengemudi negara sebagai pasukan yang mantap dan memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Selepas gagal mencapai majoriti mudah, HARAPAN yang memenangi 82 kerusi bergabung dengan Barisan Nasional (30) Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam) dan Warisan (tiga) bagi membentuk kerajaan perpaduan.


Pengarang :