Laliven Ponnosamy teruja diberi peluang memotong pokok ketika menyertai larian ‘IMR 123 Fun Run’ yang diadakan sempena program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 12 Februari 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Hari tanpa kenderaan di Shah Alam erat hubungan keluarga, rakan sekerja

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 12 FEB: Rata-rata peserta program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan anjuran Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganggap ia peluang terbaik meluangkan masa beriadah bersama keluarga pada hujung minggu.

Penjawat awam Arif Billah Idris berkata beliau yang sudah banyak kali menyertai program seumpama itu di lokasi berbeza tetapi menganggap MBSA penganjur terbaik setakat ini.

Arif Billah Idris. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Di Shah Alam memang benar-benar bebas kenderaan. Jadi saya tak risau lepaskan anak-anak yang masih kecil kayuh basikal sendiri.

“Seronok dapat luangkan masa bersama beriadah kerana hari lain saya sibuk bekerja jadi waktu dengan keluarga memang terbatas,” katanya ketika ditemui pada program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Bagi Lee Yin Yin yang pertama kali menyertai program itu mengakui teruja dapat melakukan aktiviti menyeronokkan bersama suami dan tiga anak yang sedang meningkat remaja.

“Anak-anak dah biasa sertai program. Pengalaman pertama membuat saya teruja kerana banyak pengisian disediakan. Aktiviti seperti ini eratkan ikatan kekeluargaan kerana dapat beriadah dan berkongsi pelbagai cerita,” kata Juruteknologi Makmal Perubatan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) itu.

Lee Yin Yin. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Bagi Pengurus Sumber Manusia Laliven Ponnosamy pula berkata selain beriadah, pengisian maklumat menerusi acara lain turut menambah ilmu pengetahuan.

“Ketika sertai ‘fun run’ kami sekeluarga teruja apabila dapat pengetahuan baru bagaimana penguat kuasa jalankan tugas potong pokok.

“Memang seronok kerana dapat kongsi pengetahuan dengan anak-anak dan kami pasti akan sertai program ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr Murizal Zainol berkata program terbabit turut mengeratkan ukhwah sesama rakan sekerja.

“Pada hari kerja biasanya kami tidak berjumpa dan hanya duduk dalam makmal buat penyelidikan masing-masing. Program seperti ini membuka ruang kami bersama dan kenali rakan di luar waktu pejabat dengan lakukan aktiviti rekreasi,” kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.


Pengarang :