SUBANG JAYA, 5 FEB: Hampir 1,000 pengunjung memeriahkan Hari Tanpa Kenderaan MBSJ @ Selamat Pagi Subang Jaya di Jalan SS16/1 berhadapan pasar raya Aeon Big Subang Jaya hari ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pembangunan) Dato’ Johary Anuar berkata program berlangsung dari 7 hingga 11 pagi itu merupakan penganjuran ketujuh sejak dilancar Ogos tahun lalu.
Jelas beliau, program kali ini menampilkan beberapa aktiviti tambahan antaranya Endurance Challenge (basikal) 100 kilometer dan kejohanan basikal tanpa kayuh (push bike) khas untuk kanak-kanak bawah enam tahun.

“Pertandingan berbasikal ini menarik penyertaan 200 individu. Mereka perlu menghabiskan jarak ditetapkan dalam tempoh tiga jam manakala push bike disertai 50 kanak-kanak.
“Selain aktiviti ini, kita turut anjurkan Eco Free Market, pertandingan persembahan jalanan (buskers), kejohanan Street Soccer Piala Datuk Bandar, larian santai, pesta makanan dan cabutan bertuah,” katanya ketika ditemui.
Johary yang juga mantan Datuk Bandar MBSJ berharap pihak berkuasa tempatan itu terus menjalankan aktiviti berkenaan berikutan manfaatnya yang besar kepada masyarakat.
Program dijalankan pada Ahad minggu pertama setiap bulan merupakan usaha menjadikan MBSJ sebagai bandar rendah karbon menjelang 2030.
