Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan ahli parlimen ketika sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Disember 2022. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Hasil rundingan pembelian MySejahtera, isu urusan pasport antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Perkembangan mengenai perincian hasil rundingan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Syarikat MySJ Sdn Bhd untuk membeli aplikasi MySejahtera antara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan itu dikemukakan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) kepada Menteri Kesihatan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan dan beliau juga ingin tahu pelan KKM untuk mengoptimumkan penggunaan aplikasi itu.

Turut dibangkitkan adalah persoalan daripada Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai langkah penyelesaian proaktif dan progresif dalam mengatasi isu kesesakan yang serius bagi urusan pasport di Jabatan Imigresen Malaysia.

Sh Mohmed ingin tahu sama ada kementerian berkenaan mempunyai cadangan untuk mengembalikan semula proses permohonan pasport secara walk-in (tanpa janji temu) di pejabat imigresen berbanding permohonan menerusi dalam talian dan menghapuskan sistem kuota harian bagi permohonan pasport.

Selain itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan inisiatif kerajaan membantu pekerja ekonomi gig, selain cabaran dihadapi untuk memberi atau mewajibkan jaminan perlindungan insurans bagi sektor itu.

Selesai sesi soal jawab itu, perbahasan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 juga dijadualkan berlangsung hari ini.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2023 yang memperuntukkan sejumlah RM388.1 bilion, dengan RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM99 bilion belanja pembangunan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.

– BERNAMA


Pengarang :