Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyaksikan pameran peralatan terkini yang diguna pakai hospital sempena majlis Perasmian Hospital Sultan Abdul Aziz Shah di Universiti Putra Malaysia, Serdang pada 28 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hospital Sultan Abdul Aziz Shah pusat kesihatan pertama guna sistem solar

PETALING, 28 FEB: Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan institusi kesihatan pertama menggunakan sistem solar bagi menguruskan sumber tenaga hijau.

Naib Canselornya Dato’ Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata inisiatif itu dijangka dapat memberi penjimatan kira-kira RM110 juta dalam tempoh 25 tahun.

“UPM merupakan universiti awam terbesar yang memiliki sistem solar ‘photovoltaic’ dengan kapasiti 16.18 megawatt peak. Kejayaan ini berdasarkan usaha pelestarian kampus hijau dan pengurusan alam sekitarnya.

“Hasil kerjasama antara UPM dan syarikat GSparx bagi projek pemasangan panel solar di sekitar UPM bagi menyokong inisiatif penjimatan serta kelestarian kampus hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian HSAAS UPM hari ini. Majlis disempurnakan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dr Mohd Roslan menjelaskan kewujudan hospital berkenaan melengkapkan ekosistem pengajian perubatan untuk melahirkan graduan yang berkualiti dan berdaya saing.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan yang menawarkan program pengajian dalam bidang perubatan, UPM beriltizam untuk bersama komuniti berkongsi kepelbagaian perkhidmatan perubatan, kemudahan rawatan dan infrastruktur berteknologi tinggi,” katanya.

HSAAS yang dahulunya dikenali sebagai Hospital Pengajar UPM mula dibina sekitar 2014 meliputi kawasan berkeluasan 95 hektar dan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun sebelum diserahkan kepada universiti secara rasmi 15 Mei 2019 bagi memulakan operasi sulungnya.

Hospital berkenaan kini mempunyai kapasiti keseluruhan 400 katil dengan menelan kos pembinaan RM600 juta. Operasi pertama melalui perkhidmatan Klinik Perubatan Keluarga pada Oktober 2019.

Pusat kesihatan itu menyediakan empat kepakaran iaitu perkhidmatan strok, penjagaan prostat, geriatrik dan zoonosis.

Sejak beroperasi, HSAAS menerima sebanyak 11,978 pesakit dalam, 231,783 pesakit luar dengan kekuatan staf seramai 1,491 orang dan 205 pensyarah perubatan serta pensyarah dalam bidang sains kesihatan dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM.


Pengarang :