Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 67 pendatang tanpa izin dari Indonesia dalam operasi di sebuah penempatan haram di Nilai Spring pada 1 Februari 2023. Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia
AGENDANASIONAL

Imigresen bongkar penempatan pendatang Indonesia dilengkapi sekolah

SEREMBAN, 1 FEB: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan 67 pendatang tanpa izin dari Indonesia dalam satu operasi di sebuah penempatan haram di Nilai Spring, dekat sini awal pagi tadi.

Pengarahnya Kennith Tan Ai Kiang berkata 31 lelaki dan 36 perempuan, termasuk 36 kanak-kanak serta bayi berumur dua bulan ditahan dalam operasi pukul 1.30 pagi itu.

Beliau berkata berkata hasil risikan mendapati penempatan berkenaan memiliki kemudahan ‘sekolah’ menggunakan silibus pendidikan negara jiran, malah turut dilengkapi beberapa set generator bagi membekalkan kemudahan elektrik.

“Anggota yang terlibat dalam operasi itu perlu berjalan kaki meredah kawasan hutan sejauh 1.2 kilometer untuk sampai ke kawasan penempatan yang tidak rata dan berpaya, serta dikelilingi besi serpihan jerat dan anjing liar itu.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat ada warga asing cuba melarikan diri serta bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kennith berkata hasil risikan awal mendapati warga asing itu menduduki penempatan berkenaan sejak lebih dua tahun, dan semasa serbuan pihaknya turut menemukan beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang.

“Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng bagi siasatan lanjut. Jabatan imigresen sedang mengenal pasti sama ada penempatan di Nilai Spring itu dibina atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikesan ialah tidak memiliki tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan berkaitan Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-BERNAMA


Pengarang :