AGENDAJENAYAH

Individu menyamar Tunku Mahkota Johor, perdaya mangsa diburu polis

JOHOR BAHRU, 22 Feb: Polis Johor kini sedang mengenal pasti serta mengesan individu yang menyamar sebagai Tunku Makhota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim melalui Instagram, dengan menggunakan akaun ‘HRHCROWNPRINCEOFJOHOR’, dipercayai untuk memperdaya mangsa.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP M Kumar berkata pihaknya menerima laporan mengenai penyamaran itu pada jam 2.35 petang semalam daripada media Istana Johor.

Beliau berkata menerusi satu tangkap layar akaun Instagram terbabit, yang memaparkan mesej yang menunjukkan seorang individu mengaku Tunku Mahkota Johor kepada beberapa pihak dan meminta sejumlah bayaran untuk urusan perniagaan.

Kumar berkata melalui siasatan awal, pihaknya mendapati individu berkenaan menyamar sebagai Tunku Mahkota Johor dengan melakukan pengubahsuaian pada tangkap layar yang digunakan untuk berkomunikasi dengan mangsa.

“Modus operandi yang digunakan adalah dengan mengubah dan menggunakan gambar profil serta akaun Instagram TMJ, agar mangsa percaya mereka sedang berkomunikasi dengan baginda.

“Setakat ini, dipercayai mesej berkenaan telah diedarkan kepada lapan syarikat dan ada di antara syarikat berkenaan telah terpedaya, dan memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diarahkan individu untuk mendapatkan projek yang ditawarkan,” katanya.

Kumar berkata kes disiasat di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Penyamaran), sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu), yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan didenda, jika sabit kesalahan.

“Polis Johor menyeru mana-mana pihak yang sudah menjadi mangsa, melaporkan kepada polis supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :