Hampir 50 penghantar makanan hadir bagi menerima sumbangan e-panggilan melalui RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Inisiatif kerajaan tanggung bayaran ujian memandu bantu golongan sasar tambah pendapatan

KOTA BHARU, 25 FEB: Inisiatif kerajaan yang akan menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023 semalam, diibaratkan bagai ‘durian runtuh’ oleh golongan sasaran.

Belia, Muhammad Baihaqy Ab Ghaffar, 27, berkata inisiatif itu menunjukkan keprihatinan kerajaan sekali gus dapat membantu rakyat memajukan diri dengan melakukan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Muhammad Baihaqy berkata harga mengambil lesen motosikal sekitar RM400 hingga RM500 sedikit sebanyak membebankan golongan yang tidak berkemampuan.

“Seperti sedia maklum, perkhidmatan penghantaran terutamanya penghantaran makanan seperti GrabFood dan Foodpanda menggunakan motosikal semakin menjadi pilihan kebanyakan rakyat untuk mencari pendapatan.

“Oleh itu, dengan adanya bantuan daripada kerajaan seperti ini (lesen percuma) ia dapat membuka peluang kepada golongan berkenaan untuk melibatkan diri dengan perkhidmatan itu sekali gus dapat merangsang pertumbuhan ekonomi domestik negara,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2023 berkata kerajaan bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan e-hailing.

Muhammad Huzaifi Ahmad Zaidi, 25, pula berterima kasih kepada kerajaan atas inisiatif ditawarkan.

Menurutnya dia pernah berhasrat untuk menyertai perkhidmatan e-hailing atau e-panggilan bagi menambah sumber pendapatan namun hasrat berkenaan terbantut apabila mengetahui perkhidmatan itu memerlukan lesen tambahan iaitu lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) e-panggilan yang perlu dibayar bagi membawa penumpang.

“Saya berharap bantuan ini akan dipermudah agar golongan yang tidak mempunyai pekerjaan buat masa ini dapat menyertai perkhidmatan e-panggilan tanpa rasa terbeban apabila kerajaan bakal menanggung bayaran lesen itu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :