Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya pada 4 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Isu geran hak milik rumah penduduk Bandar Sungai Buaya berakhir selepas 24 tahun

HULU SELANGOR, 6 FEB: Lebih 3,000 pemilik rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang, dekat sini boleh menarik nafas lega selepas usaha mereka untuk mendapatkan hak milik individu kediaman masing-masing direalisasikan selepas 24 tahun menunggu.

Kira-kira 300 pemilik rumah menerima surat kelulusan hak milik individu yang disempurnakan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad mewakili Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 4 Februari lalu.

Antara pemilik rumah Bandar Sungai Buaya yang hadir pada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah kawasan itu pada 4 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Majlis di pejabat syarikat pemilik tanah, Operasi Murna Jaya Development Berhad (MJDB) itu turut dihadiri Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohamad Hanafe Basri serta Jurutera Daerah Hulu Selangor, Ahmad Faris Mohd Ghazali

Mohamad Hanafe berkata Kerajaan Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDTHS) komited menyelesaikan isu tanah pembangunan Bandar Sungai Buaya dan memastikan isu geran hak milik individu kepada 3,580 pemilik rumah diselesaikan.


Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad berucap pada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya pada 4 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

“Dengan kelulusan hak milik ini disusuli pengeluaran geran hak milik individu selepas ini, pemilik rumah akan dapat melaksanakan urusan pindah milik, jual beli, pembahagian harta pusaka dan urusan lain dengan lebih mudah.

“Baki lagi 3,130 pemilk rumah akan menerima surat kelulusan hak milik individu secara berfasa dan dijangka selesai menjelang Mac ini,” katanya lapor Berita Harian.

Setakat ini, surat kelulusan itu sudah diserahkan kepada 450 pemilik, bermula 16 November lalu di Dataran Niaga Serendah membabitkan 100 pemilik dan kemudian pada 4 Disember, membabitkan 50 pemilik sempena program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) di Persiaran As-Salam, Bukit Sentosa.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Saifuddin Shafi Muhammad (tiga dari kanan) pada majlis penyerahan surat kelulusan hak milik individu kepada 300 pemilik rumah Bandar Sungai Buaya pada 4 Februari 2023. Foto Facebook Saifuddin Shafi Muhammad

Sementara itu Saifuddin berkata walaupun masih terdapat sebahagian besar pemilik belum menyelesaikan kos yang diperlukan, kecekapan pentadbiran pegawai daerah dan PDTHS berjaya merungkai isu berkenaan bersama tuan tanah, iaitu MJDB.

“Hasil persetujuan bersama, sebahagian besar kos diserap MJDB dan penduduk hanya perlu membayar sekitar satu pertiga sahaja daripada kos sebenar.

“Inilah pentingnya penduduk memilih pentadbiran kerajaan yang memikirkan masalah rakyat secara holistik dan memikirkan penyelesaian sehingga ke akarnya,” katanya.


Pengarang :