Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan beg cenderamata kepada pengguna jalan ketika Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Baharu Raintree di Taman Sri Gombak, Gombak pada 4 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jalan baharu Raintree kurangkan kesesakan, jadi alternatif waktu puncak, perayaan Thaipusam

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 4 FEB: Pembukaan jalan baharu Raintree di Taman Raintree, Batu Caves di sini membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di beberapa kampung dan kawasan perumahan di sekitarnya pada waktu puncak dan musim perayaan terutamanya Thaipusam.

Dato’ Menteri Besar berkata jalan baharu yang sudah digunakan beberapa hari lalu juga merupakan laluan alternatif dan menjadi jalan pintas penduduk sekitar antaranya Kampung Laksamana dan Gombak Permai untuk ke stesen komuter, kuil Batu Caves dan perumahan bersebelahannya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Baharu Raintree di Taman Sri Gombak, Gombak pada 4 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Walaupun ini laluan alternatif tetapi sebenarnya menjadi laluan utama penduduk di kawasan sekitar. Saya percaya laluan ini juga dapat membantu menggerakkan beberapa pelan dan perancangan Kerajaan Negeri.

“Yang paling hampir ialah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) selain kawasan perumahan baharu di Gombak Permai serta Kampung Temenggung dan Kompleks Islam Wira Damai yang dijangka siap antara tiga hingga lima tahun lagi,’’ kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam ucapan perasmian pembukaan Jalan Raintree petang tadi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kerana berjaya melengkapkan pelan pembinaan laluan tersebut yang tertangguh sebelum ini.

“Sebelum ini kita telah menetapkan sumbangan yang perlu dikeluarkan pemaju di kawasan persekitaran untuk menyiapkan laluan ini namun ada pemaju tak bayar dan terlewat akhirnya jumlah yang dapat dikumpulkan hanya RM700,000 daripada keseluruhan kos RM1.96 juta.

“Ini juga merupakan janji Pilihan Raya Umum (PRU) untuk Dewan Negeri,’’ tambah beliau.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan beg cenderamata kepada pengguna jalan ketika Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Baharu Raintree di Taman Sri Gombak, Gombak pada 4 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin memberitahu, pembukaan jalan ini juga membantu menyelesaikan beberapa aduan penduduk di sekitar Taman Raintree.

“Sebelum ini, kawasan ini digemari oleh pembuang sampah dan menyebabkan penduduk terpaksa berhadapan bau busuk, kegiatan pembakaran terbuka dan pencerobohan,’’ katanya.


Pengarang :