SHAH ALAM, 1 FEB: Program Jelajah Selangor Penyayang (JSP) yang ditambah baik dengan memperkenal pelbagai inisiatif kembali membuka tirainya tahun ini pada 18 Februari.
Tanpa memperincikan lokasi penganjuran, Dato’ Menteri Besar berkata program jelajah itu akan diadakan dalam tempoh lebih pendek dengan pengisian yang lebih padat berbanding tahun lepas.
“Kali ini kita hanya anjurkan selama sehari sahaja berbanding tempoh dua hari sebelum ini. Tetapi kandungannya banyak dan tidak jauh berubah.
“Kita juga sasar untuk anjurkan JSP di setiap Parlimen sebelum akhir Jun ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Program JSP mula dianjurkan pada Jun tahun lalu dan ia menyediakan pelbagai acara antaranya saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah, pameran dan acara sukan.
Jelajah yang disusun semula dari Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebelum ini dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta bagi memberi manfaat kepada rakyat Selangor.
