Penduduk sekitar mengambil peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Azalea Court Tasik Puteri, Rawang pada 22 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah PKPS tawar barangan asas murah dan berkualiti, bantu rakyat berjimat

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 23 FEB: Rata-rata pengunjung memuji program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang dianjurkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang di Azalea Court Tasik Puteri di sini, semalam.

Suri rumah Mariamal Thaniglass, 54, beliau sentiasa menanti penganjuran program itu untuk mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah.

“Memang dapat berjimat, barang juga segar dan berkualiti. Di luar biasanya harga ayam hampir RM20 seekor tetapi di sini hanya RM10, telur gred B pun RM10 sedangkan di pasaran luar gred C RM12 sepapan,” katanya yang sudah lima kali menyertainya.

Mariamal Thaniglass. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Bagi Basarina Johari, 54, berkata insiatif mengadakan program di DUN tersebut sangat membantu orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah (B40).

“Saya hanya bergantung kepada wang pencen berjumlah RM2,000 sebulan jadi program ini memang jimatkan perbelanjaan.

“Kerajaan Negeri diharap pertimbangkan untuk jadikan Jelajah Ehsan Rakyat sebagai program tetap kerana golongan B40 masih perlu bantuan tangani peningkatan kos sara hidup,” kata bekas anggota tentera yang sudah 10 tahun menamatkan perkhidmatan.

Basarina Johari. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara suri rumah Norasmidar Firemli, 46, berkata jualan murah dikelolakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu meringankan beban kewangan semua khususnya golongan B40.

“Kita B40 memang amat perlukan program ini kerana barang terlalu mahal tambah pula anak ramai.

“Gaji pula tidak seberapa jadi bila harga barang keperluan melambung di pasaran memang amat terbeban. Syukur ada program begini sekurang-kurangnya dapat jimatkan belanja,” katanya.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei depan.

Jualan murah kendalian PKPS itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).


Pengarang :