Sukarelawan membersihkan sampah sekitar Jeti Sungai Buloh di Jeram, Kuala Selangor menerusi program River Clean Up anjuran Team Selangor pada 18 Februari 2023. FotoTeam Selangor
AGENSISELANGOR

Jeti Sungai Buloh di Jeram kembali bersih, Team Selangor kutip hampir 400 kg sampah

SHAH ALAM, 21 FEB: Persekitaran Jeti Sungai Buloh di Jeram, Kuala Selangor kini berwajah baru selepas sukarelawan Team Selangor mengutip hampir 400 kg sampah pada Sabtu lalu.

Ketua Sekretariatnya Syahaizel Keman berkata seramai 50 individu terlibat menjayakan inisiatif River Clean Up anjuran bersama pusat khidmat masyarakat Bukit Melawati dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Bagan Sasaran Sungai Buloh.

“Kita mengesan banyak sampah sarap seperti plastik, tin aluminium, kertas dan botol kaca di kawasan sekitar jeti dan sungai terbabit. Atas faktor itu, kita mengambil inisiatif untuk membuat pembersihan.

“Jeti terbabit perlu dibersihkan kerana ia tempat nelayan berkumpul dan mencari rezeki selain menjadi lokasi penganjuran program komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli (tengah) bersama 50 sukarelawan Team Selangor yang menjayakan program River Clean Up di Jeti Sungai Buloh di Jeram, Kuala Selangor pada 18 Februari 2023. Foto Team Selangor

Selain gotong-royong membersihkan kawasan jeti, Syahaizel memaklumkan pihaknya turut menganjurkan bengkel membuat brownies dan pemeriksaan kesihatan di dewan terbuka berhampiran jeti terbabit.

Kaunter pendaftaran dan semakan bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah), Iltizam Selangor Penyayang dan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) turut dibuka.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif berkenaan, beliau berkata Team Selangor berhasrat untuk melaksanakan aktiviti sama di lokasi lain pada masa akan datang.

“Buat masa ini, kita sedang bincang dan kenal pasti di mana lagi lokasi lain yang perlu diberi perhatian untuk pembersihan,” katanya.


Pengarang :