Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran di Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Surau Al-Amin Taman Cheras Prima pada 9 Februari 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jimat belanja dapur, orang ramai saran jualan murah diterus sepanjang tahun

Oleh Azian Aziz

KAJANG, 9 FEB: Pengunjung Jelajah Ehsan Rakyat (JER) menyarankan program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri itu dapat diadakan lebih kerap di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong.

Norlia Sahrin. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Peniaga kuih, Norlia Sahrin, 53, dari Sungai Sekamat berkata sejak diadakan tahun lalu, dia baru dua kali berpeluang membeli di jualan tersebut.

“Di sini program jualan murah jarang dibuat, jadi saya minta adakan lebih kerap dan buat di lokasi yang mudah orang ramai datang.

“Jualan murah memang sangat membantu menjimatkan belanja dapur apalagi yang mempunyai bilangan keluarga yang ramai,’’ katanya ketika ditemui dalam program JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong di Surau Al-Amin Taman Cheras Prima hari ini.

Ibu kepada enam anak itu membelanjakan RM82 untuk membeli tiga kampit beras dan masing-masing dua pek ayam, daging serta ikan untuk bekalan dapur dua minggu.

Ahmad Rosli Mohamed Noor. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

Pendapat Norlia disokong Ahmad Rosli Mohamed Noor, 44, dari Taman Cheras Prima yang meminta inisiatif jualan murah terus diadakan terutama di Balakong bagi membantu meringankan beban kewangan golongan berpendapatan sederhana.

“Barang sekarang sangat mahal. Memang terasa beza harga di jualan murah dengan di kedai. Elok dianjur sepanjang tahun.

“Saya beli ikan, telur dan beras dengan harga RM26 sahaja,” kata peniaga burger yang pertama kali membeli di program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Bagi Teng Swee Fong, 40, dari Sutra Residen, Cheras Jaya yang juga pertama kali berkunjung ke program tersebut, dia tidak sangka harga barangan dijual lebih murah berbanding pasar raya.

Teng Swee Fong. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI

“Saya sebenarnya nak pergi pasar raya dengan emak dan berhenti apabila ternampak ada van jualan murah.

“Tak sangka dapat beli minyak, telur dan ayam dengan harga RM55. Kalau ada lagi saya pasti datang beli,’’ katanya yang bekerja di syarikat pembinaan.

Inisiatif jualan murah kendalian PKPS diteruskan sejak 16 Januari hingga Mac ini.

Antara produk ditawarkan ialah ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :