Orang ramai membawa pulang barangan keperluan asas yang dibeli dengan harga murah pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Hulu Kelang di AU3, Keramat pada 2 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jimat RM300 sebulan, penduduk harap jualan murah diteruskan hingga Ramadan

OLEH SHAMZ JOHAN

HULU KELANG, 2 FEB: Penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang berharap program jualan murah barangan asas anjuran Kerajaan Negeri diteruskan sehingga Ramadan.

Cadangan oleh suri rumah Norsaleha Munir, 34, itu bagi membantu rakyat negeri ini menjimatkan perbelanjaan mingguan di sebalik tekanan ekonomi dan kos sara hidup yang dihadapi.

Norsaleha Munir, 34, ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Hulu Kelang di AU3, Keramat pada 2 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINII

“Mohon diteruskan sehingga Ramadan kerana dengan kos sara hidup kian meningkat, penduduk akan dapat manfaat harga barang yang murah,” katanya ditemui pada Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di sini.

Perkara itu turut disokong Fazlin Nazila Jamaluddin, 34, yang berjimat hampir RM300 sebulan untuk membeli keperluan asas seperti ayam, daging dan beras melalui jualan tersebut.

“Ayam beli di tempat lain menjangkau RM20 seekor, berbanding di sini hanya RM 10 sahaja. Kalau boleh, mahu setiap hari jualan murah diadakan di sini,” kata suri rumah itu.

Sementara itu, penolong pengurus logistik sektor perniagaan dan pemasaran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberitahu sambutan program JER semakin menggalakkan.

Menurut Mohd Hasri Abu Hassan, kuantiti barang jualan masih dikekalkan dan kebanyakan barangan habis terjual sebelum program tamat pada tengah hari.

“Hari ini, lebih 600 penduduk hadir mendapatkan pelbagai barangan keperluan. Ada yang merungut pembelian dihadkan tetapi ini bagi membolehkan semua penduduk dapat membeli,” katanya.


Pengarang :