Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Taman Ekstrim Gua Damai, Gombak pada 2 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah bantu berjimat, penduduk saran diadakan lebih kerap, berterusan

SELAYANG, 2 FEB: Kehadiran orang awam seawal 7 pagi ke Jelajah Ehsan Rakyat membuktikan inisiatif berkenaan sangat diperlukan rakyat terutama kalangan berpendapatan rendah.

Justeru seorang suri rumah menyarankan program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu diadakan lebih kerap dan berterusan.

“Semua mahu beli barang murah. Ada datang 7 pagi kerana risau bekalan tidak mencukupi. Kalau tak dapat, kena beli dekat luar. Harga mahal dari sini.

“Elok kalau program ini diteruskan. Adakan kerap supaya penduduk tak terbeban ketika berbelanja,” kata Azi Adni, 59, ketika ditemui di program jualan murah barangan asas di Kampung Wira Damai di sini hari ini.

Azi Adni, 59. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu peniaga kecil Nasriah Nasrul,39, berkata walaupun tidak mendapat nombor giliran untuk membeli barang keperluan, dia tetap menunggu sehingga program berkenaan habis.

“Saya datang jam 9 pagi tapi nombor giliran sehingga 350 habis. Ramai yang datang awal jadi nombor dah tak ada. Saya tetap tunggu kalau ada lagi bekalan tak terjual.

Nasriah Nasrul, 39. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya memang selalu beli barang di sini (program) kerana harga sangat murah dan bantu saya berjimat. Harap lepas ini bekalan lebih banyak supaya ramai dapat beli keperluan,” katanya.

Hari ini lebih 500 penduduk Dewan Undangan Negeri Sungai Tua menyerbu program jualan murah barangan asas kendalian PKPS di Kampung Wira Damai di sini seawal 7 pagi.

Bermula 16 Januari, Kerajaan Negeri meneruskan inisiatif Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 selama tiga bulan sehingga Mac ini bagi meringankan beban belanja penduduk.

Program dengan anggaran peruntukan hingga RM15 juta itu menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).


Pengarang :