Penduduk menunjukkan kupon pembelian barangan ketika Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan dewan Jaya Setia Kampung Jaya Setia pada 8 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah tawar penjimatan, penduduk nanti penganjuran

KUALA SELANGOR, 8 FEB: Setiap kali penganjuran program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diadakan di kampungnya atau kawasan berhampiran, warga emas ini tidak sabar mahu mengunjunginya.

Fatimah Hashim, 73, berkata dia sudah hadir ke empat program jualan murah itu sejak dimaklumkan mengenai program tersebut tahun lalu.

Fatimah Hashim, 73. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Katanya dia tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan penjimatan belian barangan keperluan asas yang dijual pada harga murah.

“Saya menjaga tujuh cucu dan mereka sekarang sedang membesar. Jadi, saya perlu sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja.

“Saya sangat bersyukur kerana mengetahui mengenai program JER. Ia memang membantu keluarga saya dalam membeli barangan keperluan dapur,” katanya kepada Selangorkini.

Orang ramai memilih barangan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan dewan Jaya Setia Kampung Jaya Setia pada 8 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Fatimah ditemui pada program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Dewan Jaya Setia, Kampung Jaya Setia di sini, hari ini.

Bagi Rizman Omar, 48, beliau berharap JER dapat diadakan setiap bulan di kawasan sama, bagi meringankan beban penduduk membeli barangan keperluan.

“Ini kali kedua saya ke sini, produk yang disediakan sangat berkualiti.

“Saya juga dapat berjimat 30 peratus dan ia sangat membantu ekonomi keluarga saya,” katanya yang memiliki perniagaan kedai runcit.

Penduduk membawa pulang barangan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di perkarangan dewan Jaya Setia Kampung Jaya Setia pada 8 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Program JER menawarkan jualan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di sekitar 56 DUN sebelum ini, dan ia akan diteruskan hingga Mac depan.


Pengarang :