Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 7 FEB: Program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri yang menawarkan barangan asas murah berbanding harga pasaran diteruskan lagi di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.
Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bertujuan meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang akan diadakan di Pekan Batu 39, Sabak Bernam dalam DUN Sungai Air Tawar dan di Jaya Setia (DUN Ijok).
Lokasi lain ialah Dataran Masjid Al Ahmady Kampung Sungai Tengi Kanan Baroh (DUN Sungai Burong), Pejabat Ahli Majlis Zon 19 (DUN Kuang), Parkir Pos Keselamatan Kampung Kemensah (DUN Hulu Kelang) dan Jalan Bunga Melur Lembah Maju (DUN Teratai).

Tiga lagi lokasi jualan ialah Puchong Utama (DUN Seri Serdang), Tapak Parkir Balai Penghulu Johan Setia (DUN Sungai Kandis) dan Sungai Manggis, Banting (DUN Banting).
Program jualan murah itu menawarkan barangan seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).
Turut dijual ialah ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.