PETALING JAYA, 3 FEB: Jelajah Ehsan Rakyat 2.0 yang berlangsung ketika ini bakal diselaraskan bersama Jualan Rahmah bagi meringankan beban belanja lebih ramai penduduk.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi perancangan berkenaan, lokasi jualan murah barangan keperluan akan bertambah sekali gus memudahkan orang ramai mendapatkan keperluan.
“Kerajaan Negeri sedang menyahut seruan Jualan Rahmah. Kita cuba selaraskan jadual (penganjuran jualan) dengan Jelajah Ehsan Rakyat.
“Jika tidak sama, kita akan pisahkan (jualan asing) supaya lebih banyak tempat dan ramai penduduk mendapat manfaatnya,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis ramah mesra bersama penerima biasiswa Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Kerajaan Selangor hari ini.

Program Jualan Rahmah digerakkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan menawarkan barang keperluan pada harga lebih murah.
Sementara Jelajah Ehsan Rakyat merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) selama tiga bulan bermula 16 Januari bagi meringankan beban belanja penduduk.
Program melibatkan anggaran peruntukan hingga RM15 juta itu menawarkan ayam standard (RM10 seekor), telur ayam gred B (RM10 sepapan), daging pejal segar (RM10 per pek), minyak masak 5kg (RM25), beras 5kg (RM10) dan ikan (RM6 per pek).