Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jelajah Ehsan Rakyat di Masjid Al-Falah, Meru, Klang pada 13 Febuari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah negeri, 250 individu di DUN Meru terima RM50 seorang untuk berbelanja

Oleh Azian Aziz

MERU, 13 FEB : Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru membelanjakan sejumlah RM12,500 untuk menampung perbelanjaan 250 individu kurang berkemampuan membeli barangan asas dalam Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sejak Januari lalu.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan berkata golongan terdiri warga emas, pasangan suami isteri yang dibuang kerja, asnaf, ibu tunggal yang mempunyai ramai anak serta orang kurang upaya menerima RM50 seorang.

Norlena Nayan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Seramai 25 orang akan menerima bantuan RM50 untuk setiap program JER dan sejak 15 Januari lalu sebanyak 10 program JER telah dijalankan di Meru.

“Bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka untuk membeli barangan asas yang ditawarkan,’’ katanya ketika ditemui dalam program JER DUN Meru di Masjid Al-Falah, Kampung Budiman di sini, hari ini.

Menurut beliau, selepas ini DUN Meru dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menganjurkan 10 lagi program JER.

“Program terdekat ialah pada Rabu ini di tapak pasar malam Batu 8 ½, Jalan Meru Tambahan dan Taman Desa Indah Meru pada 19 Februari,’’ tambahnya.

Program JER kendalian PKPS diteruskan bermula 15 Januari hingga Mac melibatkan 11 lokasi setiap hari berbanding sembilan sebelum ini.

Jualan itu berjaya memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor melalui siri jelajah di 693 lokasi sekitar 56 DUN.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :