Oleh Diana Abd Wahab
GOMBAK, 22 FEB: Ayam dan telur terus menjadi barangan paling laris dijual dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) anjuran Kerajaan Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang, hari ini.
Pengurus Ladang Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Danial Marzuk Yassin berkata kedua-dua barang keperluan tersebut menjadi tumpuan pembeli di setiap lokasi jualan murah.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/pic-1-6-500x351.jpg)
“Ayam dan telur paling cepat habis di mana-mana lokasi JER. Di sini juga begitu, boleh dikatakan rata-rata pengunjung pasti beli ayam dan telur.
“Hari ini lebih 300 ekor dan 200 papan terjual dalam tempoh 40 minit sebaik jualan dimulakan,” katanya kepada Selangorkini.
Bertempat di Azalea Court Tasik Puteri di sini, program yang bermula jam 10 pagi menyaksikan lebih 400 pengunjung sekitar DUN Kuang hadir bagi mendapatkan barangan keperluan asas.
Jualan menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.
Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/02/jer-2-5-500x333.jpg)