Pemenang tempat pertama Norzawani Zakiah Khairul Zaki (tengah) bergambar bersama pemenang kedua, Nur Idayu Azizi (kiri) dan ketiga, Stella Leong Sin Yin pada majlis penutup program Gadis Inspirasi Negeri Selangor di Grand Dorsett Subang, Subang Jaya pada 4 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Juara Gadis Inspirasi Selangor dedikasi kemenangan buat arwah ibu

SUBANG JAYA, 5 FEB: Juara sulung program Gadis Inspirasi Negeri Selangor (Gadis) mendedikasi kemenangannya buat arwah ibu yang meninggal dunia akibat barah paru-paru pada September lalu.

Model sambilan, Norzawani Zakiah Khairul Zaki, 26, berkata ibunya, Mesiah Katiman yang menghidap barah tahap empat sejak dua tahun lalu adalah pendorong untuknya bangkit untuk terus berbakti dalam kehidupan.

“Apabila mama disahkan kanser tahap empat, saya berhenti kerja di restoran dan menggalas tanggungjawab menjaganya dan adik beradik lain yang masih bersekolah.

“Alhamdulillah, saya dapat menjaganya hingga ke nafas terakhirnya dan dapat melihat cekal dan positifnya mama walaupun menghidap kanser yang sudah merebak ke tulang dan otak.

“Mama adalah inspirasi sebenar saya dan ini yang saya kongsikan dalam tugasan akhir tentang kepentingan kasih saya ibu dan ayah serta pentingnya imej,” katanya kepada Selangorkini.

Nur Idayu Azizi-Aziz

Sementara itu, pemenang kedua, Nur Idayu Azizi-Aziz, 31, berkata beliau menyertai program anjuran Wanita Berdaya Selangor kerana mahu berkongsi maklumat positif sekali gus menghindari aura negatif.

“Saya berharap penyertaan dalam program ini dapat menjadikan wanita-wanita di luar sana bukan sahaja mempunyai karier baik tetapi sikap bagus serta mempunyai pendirian.

“Menerusi program ini juga saya akan cuba untuk menyampaikan setiap inisiatif Kerajaan Negeri khususnya untuk kaum wanita,” katanya yang merupakan pengacara hiburan.

Stella Leong Sin Yin

Pemenang ketiga yang juga pelajar jurusan undang-undang University of London, Stella Leong Sin Yin, 24, pula berkata menjadi satu-satunya peserta berbangsa Cina dalam program itu bukanlah halangan baginya untuk menyesuaikan diri sesama peserta.

“Saya tidak kisah bergaul dengan sesiapa dan tanpa mengira kaum kerana sudah biasa. Apa yang penting adalah berkongsi maklumat dan mahu menjadi diri sendiri dalam apa jua kita lakukan.

“Dengan pengalaman latihan industri sebagai pencipta kandungan di pejabat wakil rakyat Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin mendorong saya menyertai program ini,” katanya.

Menerusi program tersebut, juara membawa pulang pulang wang tunai RM5,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing RM3,000 dan RM1,000 beserta trofi dan sijil.

Program Pencarian Gadis berlangsung pada 27 hingga 29 Januari lalu bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi wanita muda, menyediakan saluran bagi mengetengahkan diri di khalayak umum selain meningkatkan pembangunan dan kemapanan diri serta daya saing.

Syarat penyertaan ialah wanita berusia 18 tahun hingga 35 tahun, lahir dan bermastautin di Selangor serta memiliki pengikut di pelbagai media sosial dengan jumlah minimum 5,000 orang.


Pengarang :