Rumah di Kampung Jamari, Mersing dinaiki air susulan hujan berterusan ketika tinjauan pada 29 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa bah di Sabah meningkat pagi ini, Johor kekal

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan sedikit peningkatan manakala jumlah mangsa di Johor kekal pagi ini.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat 8 pagi ini meningkat kepada 535 orang daripada 165 keluarga dan ditempatkan di sembilan PPS, berbanding 478 orang daripada 151 keluarga malam tadi.

“Mangsa teramai dipindahkan adalah di Telupid iaitu 208 orang daripada 65 keluarga dipindahkan ke empat PPS manakala di Beaufort, 200 orang daripada 55 keluarga dan dipindahkan ke satu PPS.

“Seramai 79 orang daripada 36 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Paitan dan di Beluran 48 orang daripada sembilan keluarga di dua PPS. Mangsa banjir di Beaufort dijangka meningkat manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.

Di JOHOR, jumlah mangsa yang ditempatkan di lapan PPS kekal 925 orang daripada 264 keluarga setakat 8 pagi ini.

Menurut kenyataan JBPN Johor, 877 orang daripada 249 keluarga berada di Batu Pahat manakala di Segamat pula 48 orang daripada 15 keluarga.

Sementara itu, keadaan cuaca di dua daerah tersebut cerah setakat 8 pagi, namun data pula menunjukkan paras air Sungai Bekok di Batu Pahat masih merekodkan bacaan melepasi tahap bahaya dengan bacaan 18.80 meter.

— BERNAMA

 


Pengarang :