Jalan Kuantan – Endau (FT03) berhampiran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) arah Kuantan ditutup 10 pagi tadi berikutan ditenggelami banjir. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Pahang meningkat, Johor menurun, Kedah dan Terengganu kekal

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Bilangan mangsa banjir di Pahang terus meningkat manakala Johor semakin berkurangan sementara Kedah dan Terengganu kekal setakat petang ini.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir meningkat selepas 5,021 mangsa daripada 1,489 keluarga ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 4,230 mangsa daripada 1,240 keluarga yang ditempatkan di 21 PPS pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) melaporkan Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 4,908 orang di 24 PPS manakala 113 individu ditempatkan di empat PPS di Pekan.

Laman sesawang rasmi Jabatan Saliran dan Pengairan, publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan paras air Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan dan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya.

Di Johor, jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 59 orang di tiga daerah berbanding 163 mangsa yang direkodkan pada 8 pagi tadi.

Menurut JBPN hanya tiga PPS yang masih dibuka, masing-masing satu di Daerah Segamat, Mersing dan Batu Pahat, yang menempatkan 17 keluarga, susulan banjir termenung.

“Keadaan cuaca di sembilan daerah diramalkan cerah petang ini kecuali Kluang yang dijangka mengalami hujan,” katanya.

Sementara itu, hanya Sungai Bekok di Batu Pahat yang masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 18.95 meter manakala tiga sungai di paras amaran iaitu Sungai Lenik di Sungai Batu Pahat (Segamat) dengan 5.57 meter; Sungai Muar di Kampung Lubok Kepong (Segamat) di paras 18.32 meteri; dan Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai (Pontian) berada di paras 2.29 m.

Di Kedah 26 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Madrasah Insaniah Jangkang, Kulim masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing walaupun banjir sudah surut sepenuhnya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata ia berikutan tebing Sungai Kob yang runtuh masih belum dibaiki lagi.

“Buat masa ini, kesemua mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Padang Limau itu masih belum dibenarkan pulang kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penghulu kampung.

Kita bimbang dengan keselamatan mangsa banjir ini dan rumah mereka masih belum selamat diduduki kerana takut air dari sungai itu banyak dan akan melimpah kembali ke rumah mangsa-mangsa ini,” katanya.

Beliau berkata Pegawai Daerah Kulim akan mengadakan lawatan bagi melihat kerosakan yang berlaku di bahagian tebing sungai berkenaan petang nanti dan sebarang tindakan akan dimaklumkan.

Di Terengganu jumlah mangsa banjir kekal seramai 28 orang yang ditempatkan di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor dan di Dewan Orang Ramai Kampung Air Putih.

– BERNAMA


Pengarang :