Keadaan kawasan rumah penduduk Kampung Ongkilan di Kota Marudu, Kudat pada 26 Januari 2023 yang masih digenangi air berikutan banjir yang melanda kampung tersebut. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Sabah meningkat, Johor menurun

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah menunjukkan peningkatan, manakala di Johor berkurangan setakat petang ini.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir pada petang ini meningkat dengan 627 orang daripada 188 keluarga dipindahkan ke 13 PPS di tiga daerah, berbanding 599 orang daripada 183 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan daerah Telupid mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 454 orang daripada 130 keluarga, diikuti Paitan 128 orang daripada 46 keluarga serta Lahad Datu melibatkan 45 orang daripada 12 keluarga.

Menurut kenyataan itu mangsa banjir di Telupid dan Paitan dijangka terus meningkat, manakala Lahad Datu kekal.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan 112 orang daripada 19 keluarga terperangkap di Kampung Mempulut, Keningau pagi tadi akibat banjir.

“Pasukan bomba bersama agensi lain bertindak mengeluarkan dan memindahkan mangsa yang terlibat. Mangsa kemudian dihantar ke PPS yang telah dibuka dan rumah saudara terdekat. Operasi ditamatkan pada 10 pagi tadi,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan memberitahu Jalan Randagong Himbaan di Ranau tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan akibat banjir lumpur, justeru orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif di Jalan Tenompok Bundu Tuhan.

“Kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan dan kerja-kerja pembersihan jalan sedang giat dlaksanakan,” menurut kenyataan itu.

Di Johor, kesemua PPS di Mersing ditutup menjadikan tinggal tiga daerah sahaja terjejas akibat banjir ketika ini.

JPBN Johor dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,106 orang setakat 2 petang ini berbanding 1,381 orang pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, 12 PPS masih beroperasi dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 919 orang, diikuti Kota Tinggi (97) dan Segamat (90).

Kulai, Kota Tinggi dan Kluang mengalami hujan ketika ini, manakala tujuh daerah lain dilaporkan cerah.

Dalam pada itu, paras Sungai Bekok di Batu Pahat merekodkan tahap bahaya dengan bacaan 18.71 meter.

– BERNAMA

 


Pengarang :