Pesawat milik Malaysia Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kabinet setuju syarat baharu perjanjian operasi MAHB, KLIA, klia2 dijenamakan semula

PUTRAJAYA, 9 FEB: Kabinet secara prinsip bersetuju dengan syarat material baharu Perjanjian Operasi (OA) yang memberikan konsesi kepada Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangun 39 lapangan terbang dan padang terbang (STOLports – Short Take-Off and Landing Airports) di Malaysia sehingga 2069.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata dengan persetujuan Kabinet itu yang dicapai pada 2 Februari lepas, perjanjian sama sebelum ini kini terbatal, manakala OA baharu serta Perjanjian Pajakan berkaitan akan ditandatangani dan dimuktamadkan selewat-lewatnya akhir Mac ini.

“Ini merupakan kesinambungan perjanjian lama… perbezaannya adalah ia memberikan fleksibiliti kepada MAHB dalam membangunkan lapangan terbang yang lebih kompetitif dan efektif,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke berkata kerajaan dan MAHB bakal mempunyai fleksibiliti dalam kaedah pembiayaan kos pembangunan industri lapangan terbang iaitu sama ada menggunakan peruntukan kerajaan melalui Perbelanjaan Pembangunan atau MAHB melalui mekanisme model pemulihan pelaburan yang bersesuaian.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada sidang media selepas sesi lawatan kerja ke Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya pada 7 Februari 2023. Foto BERNAMA

“Kaedah itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak dengan kadar kos purata wajaran modal (WACC) ditentukan hanya apabila projek terlibat akan dilaksanakan, tertakluk kepada persetujuan kerajaan,” katanya.

Loke berkata akaun amanah pembangunan lapangan terbang juga akan ditubuhkan bagi menerima sumbangan daripada pengguna lapangan terbang, orang awam dan syarikat penerbangan tanpa melibatkan dana kerajaan.

“Sebanyak 50 peratus daripada komponen Caj Perkhidmatan Penumpang yang diambil kira dalam pengiraan User Fee (fi pengguna) akan disalurkan ke akaun amanah itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan juga berhak untuk menstruktur semula industri lapangan terbang melalui kaedah ‘clustering’, memisahkan ekuiti perniagaan daripada syarikat induk, pelupusan lapangan terbang, menutup lapangan terbang atau terminal sedia ada atau penstrukturan semula mana-mana pemilikan fasiliti tertakluk kepada persetujuan bersama.

Loke berkata syarat material baharu OA itu juga akan membolehkan pelaksanaan pelan pembangunan komersial lebih berdaya saing serta berpotensi meningkatkan pendapatan kerajaan melalui perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan oleh MAHB.

Beliau berkata dengan pelaksanaan konsep subsidi bersilang seperti dalam OA berkenaan, semua aspek pengurusan dan penyelenggaraan 17 STOLports dipertanggungjawabkan kepada MAHB sehingga 2069.

Loke berkata MAHB boleh merancang pembangunan jangka panjang yang lebih baik bagi semua lapangan terbang di bawah seliaannya, dengan mengambil kira kepakaran dan pengalaman syarikat tersebut dalam bidang berkenaan di dalam dan luar negara.

“Beban kerajaan juga dapat diringankan dengan kos pembangunan diambil alih oleh MAHB, yang pada masa sama menjalin kerjasama dengan pihak yang berminat untuk melabur dalam industri berkenaan,” katanya.

Loke turut mengumumkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dijenamakan semula kepada KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2 bagi mencapai nilai tinggi dalam memasarkan perkhidmatan di lapangan terbang tersebut.

“Pelaksanaan ini dijangka dapat membantu meningkatkan daya saing global perkhidmatan pengangkutan udara negara serta memulihkan semula sektor penerbangan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan gagasan Malaysia Madani,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :