Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu penjawat awam sempena program bersama ketua jabatan dan pegawai kanan persekutuan di negeri Perlis pada 16 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kadar gaji penjawat awam dibincang apabila kewangan negara bertambah baik

KOTA KINABALU, 28 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar gaji dan upah penjawat awam akan dibincang semula setelah ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik selain defisit kewangan negara dapat dikurangkan.

Perdana Menteri berkata secara peribadi, beliau tidak berpuas hati apabila melihat kadar gaji dan upah penjawat awam berbanding tugas serta komitmen yang diberikan namun ia perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini.

“Kalau kantung bertambah baik defisit dikurangkan, kita boleh (naikkan gaji serta upah), dan sekarang bila saya tengok penjawat awam buat kerja baik antaranya di negeri kemudian hasil bertambah, proses itu boleh dipercepat.

“Cuma untuk hari ini saya fikir sukarlah, itu nanti kita bincang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada penjawat awam negeri dan Persekutuan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.


Pengarang :