Hampir 50 penghantar makanan hadir bagi menerima sumbangan e-panggilan melalui RiDE di Dewan MBSA Seri Pagi, Paya Jaras, Sungai Buloh pada 15 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kaji wujud perundangan khas lindungi kebajikan pekerja ekonomi sampingan

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan perundangan khusus bagi menjamin kebajikan pekerja ekonomi sampingan atau mereka yang bekerja sendiri.

Menteri sumber manusia berkata golongan itu berdepan cabaran berikutan tidak dilindungi bawah akta pekerja, ordinan buruh di Sabah serta Sarawak, selain tidak mendapat faedah gaji minimum.

“Ketika ini, kita berhadapan cabaran untuk menjaga kebajikan mereka kerana tidak ada perundangan khusus yang melindungi pekerja ekonomi sampingan.

“Justeru, kita sedang cari cara mewujudkan perundangan khusus supaya kebajikan mereka dapat dilindungi secara holisitik,” kata V Sivakumar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Shah Alam Azli Yusof yang ingin mengetahui sejauh mana komitmen kerajaan untuk membela nasib pekerja ekonomi sampingan.

Sivakumar menambah kementerian juga menyasar untuk melaksana semua inisiatif kerajaan terhadap pekerja sektor tersebut yang diumum dalam Belanjawan 2023, sebelum akhir tahun ini.

“Kerajaan memutuskan untuk mewajibkan mereka yang bekerja sendiri mendaftar dan mencarum bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Sebagai menteri, saya akan pastikan dasar ini dapat dilaksana sekurang-kurangnya sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana RM40 juta menerusi pelbagai inisatif untuk meningkatkan kemahiran dan kebajikan 30,000 pekerja ekonomi sampingan di negara ini.


Pengarang :