Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
AGENDANASIONAL

Kakitangan makmal perubatan ditahan bantu siasatan terima rasuah RM20,000

JOHOR BAHRU, 7 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Segamat menahan seorang kakitangan makmal perubatan bagi membantu siasatan, kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah RM20,000, sejak 2018.

Menurut sumber lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor Bahru, kira-kira 8.30 pagi tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan lelaki yang bertugas di sebuah makmal perubatan hospital kerajaan itu telah meminta serta menerima wang rasuah daripada pemilik sampel air kencing bagi pengesanan kandungan dadah, sejak 2018 sehingga tahun ini.

“Ia adalah sebagai balasan untuk menukar keputusan air kencing yang dianalisis,” kata sumber berkenaan, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Lelaki berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 9 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :