Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud ketika sesi Taklimat Pelaksanaan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bersama pengamal media di bilik taklimat Jabatan Imigresen, Putrajaya pada 18 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kedutaan negara asing tiada kuasa keluarkan pas lawatan sementara

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Kedutaan asing di negara ini tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang bentuk pas kepada rakyat mereka untuk menetap di sini walaupun untuk sementara, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Khairul Dzaimee berkata pengeluaran visa dan pas kepada warganegara asing untuk tinggal dan bekerja di sini hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen (JIM) sebagai pihak berkuasa.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa mana-mana pihak luar tiada hak untuk mencampuri urusan kedaulatan dan undang-undang negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan berkenaan bagi mengulas laporan berita bertajuk ‘Petempatan Warga Asing di Nilai Spring Bukan Haram, Kata Migrant Care.’

Dalam laporan berkenaan Migrant Care yang berpangkalan di Jakarta, Indonesia memberitahu warga asing yang ditahan dalam serbuan di lokasi berkenaan telah mendapat pas lawatan sementara dari pihak Indonesia yang sah selama setahun.

Pada operasi pada 1 Februari lepas seramai 67 warga Indonesia berusia lingkungan dua bulan hingga 72 tahun ditahan berikutan tidak memiliki dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Khairul Dzaimee berkata semua yang ditahan dalam operasi bersepadu itu adalah pendatang tanpa izin dan tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan kewajaran JIM melaksanakan operasi berkenaan kerana ia adalah tugas hakiki jabatan itu.

“Malah Rakyat Malaysia juga dikenakan hukuman oleh pihak berkuasa negara luar apabila mereka melanggar undang-undang Imigresen negara berkenaan. Justeru, semua pihak hendaklah menghormati kedaulatan undang-undang sesebuah negara,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :