Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program syarahan Reformasi Pendidikan untuk kesejahteraan masa depan Malaysia di Unisel Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan cari jalan kurangkan beban rakyat tanpa perlu keluarkan KWSP

KUALA SELANGOR, 9 FEB: Kerajaan sedang mencari jalan membantu rakyat yang berdepan masalah kewangan tanpa perlu mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah berkenaan pastinya tidak akan membebankan atau memberi impak kepada pemegang akaun apabila sudah bersara.

“Kita sudah perjelaskan. Dahulu minta dikeluarkan, banyak dikeluarkan jadi yang tinggal RM10,000, RM5,000. Yang hendak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita, ada RM5,000, RM10,000 hendak keluar, pencen empat tahun lagi apa hendak jadi?

“Betul (pengeluaran untuk bantu masalah) tetapi kalau wang dia ada tak apa, kalau wang tidak ada? Ada RM5,000 tinggal RM3,000…jadi kalau dia pencen esok, ada yang hendak pencen dua tahun tiga tahun lagi,” katanya hari ini.

Beliau ditemui pada program Syarahan Ulung Kursi Siddiq Fadzil di Universiti Selangor Kampus Bestari Jaya di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi syarahan Reformasi Pendidikan untuk kesejahteraan masa depan Malaysia di Unisel Kampus Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 9 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Anwar berkata kerajaan perlu membuat pertimbangan terhadap kebenaran bagi pengeluaran KWSP itu untuk mengelak rakyat terbeban selepas bersara.

Sebelum ini kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP dari Akaun 1 dan 2 melalui skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra pada 2020 dan 2021 bagi membantu rakyat berdepan tekanan ekonomi ketika pandemik Covid-19.


Pengarang :