Oleh DIANA ABD WAHAB
KUALA LUMPUR, 17 FEB: Kerajaan Negeri menyasarkan membina 60,000 unit kediaman menerusi Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 menjelang 2025, kata EXCO perumahan.
Rodziah Ismail berkata sehingga 1 Februari lalu 83,603 permohonan direkodkan berbanding 50,036 kediaman ditawarkan di pasaran.
“Rumah Selangorku telah menjadi jenama perumahan mampu milik yang dikenali rakyat di negeri ini sehingga menyebabkan jumlah permintaan aktif kini melebihi penyediaan.

“Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yakin sasaran ini dapat dicapai bagi memastikan hasrat setiap keluarga memiliki sebuah kediaman sempurna dapat direalisasikan,” katanya pada sidang media di Hotel Pullman Bangsar semalam.
Rodziah berkata tahun ini 7,500 unit kediaman dijangka siap dibina menerusi Rumah Selangorku sebelum kunci diserahkan kepada pemilik.
Sementara itu beliau berkata dasar Rumah Selangorku 3.0 ditambah baik bagi memastikan ia terus relevan untuk terus digunapakai dalam industri.
“Kita harap dasar Rumah Selangorku 3.0 dapat memastikan aspirasi Kerajaan Negeri diteruskan.

“Ia selaras hasrat sedia rumah mampu milik untuk golongan sasar dapat diteruskan di kala negara sedang dalam proses pemulihan ekonomi kesan pandemik Covid-19 selain kesan peningkatan kos bahan mentah akibat kelembapan ekonomi dunia ketika ini,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga fokus menambah bilangan unit Rumah Selangorku yang dibina di kawasan pusat bandar menerusi peningkatan densiti per ekar kepada maksimum 120 unit per ekar di seluruh Selangor.