Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berucap pada majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di Shah Alam pada 20 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan terus perkasa inisiatif bandar rendah karbon, kurangkan kesan perubahan iklim

SHAH ALAM, 21 FEB: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim terus memperkasa inisiatif bandar rendah karbon bagi memastikan transformasi ke arah bandar rendah karbon.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha itu akan melibatkan kerjasama strategik antara kerajaan persekutuan, Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurutnya, peranan negeri dan PBT adalah amat penting bagi merancang pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur persekitaran sesebuah bandar dalam merealisasikan aspirasi ke arah bandar rendah karbon.

“PBT juga diharap dapat membantu dalam melaksanakan inisiatif pelestarian persekitaran peringkat kebangsaan dan tempatan yang menekankan penggunaan tenaga lestari, mobiliti rendah karbon dan sistem pengangkutan bersepadu, pengurusan sisa, kitar semula dan kecekapan air serta pembinaan bandar berdaya tahan.

“Proses peralihan dan transformasi bandar rendah karbon bakal memberi impak yang positif kepada kita semua dalam mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2022 di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Dato’ Haris Kasim.

Dalam pada itu, Nik Nazmi memaklumkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) yang dicatatkan pada tahun lalu adalah sebanyak 209,214 tan karbon dioksida setara.

“Jumlah penyerapan karbon yang dicapai melalui inisiatif in juga adalah sebanyak 29,622 tan karbon dioksida bersamaan dengan penanaman 5.2 juta batang pokok,” katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut, Majlis Bandaraya Shah Alam menerima Anugerah Khas (PBT Paling Aktif) manakala bagi kategori Pengurangan Karbon Terbanyak pula diberikan kepada Majlis Perbandaran Sepang.


Pengarang :