Jalan Raja Abdullah, adalah diantara jalan uttama di Kampung Baru, Kuala Lumpur
AGENDANASIONAL

Kerajaan tidak abai kepentingan orang Melayu di Kampung Baru – PM

SHAH ALAM, 21 FEB: Kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru dalam rancangan pembangunan di kawasan berkenaan.

Perdana menteri berkata beliau telah menolak beberapa cadangan, termasuk rancangan pajakan tanah sehingga 60 tahun yang dikhuatiri menjejaskan pemiliknya.

Justeru, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon sedikit tempoh bagi memastikan pembangunan di kawasan segi tiga emas negara itu dibuat dengan teliti dan adil.

“Saya telah beri jaminan malah telah menangguhkan beberapa program yang saya tidak yakin akan mempertahankan kepentingan Melayu. Kalau ada pajakan itu untuk 60, 99 tahun akan timbul keresahan masyarakat Melayu. Cadangan tentang pajakan ini, saya tak boleh terima.

“Beri ruang (untuk) saya kaji semula dan rujuk pendapat masyarakat tempatan sendiri,” katanya menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai cadangan kerajaan untuk meneruskan pembangunan di Kampung Baru secara menyeluruh di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Tambun itu mengakui kerajaan tidak mampu untuk membayar wang pampasan yang tinggi ketika ini namun pembangunan Kampung Baru perlu diteruskan demi jangka masa panjang.

Menurutnya setiap kaedah yang bakal dilaksanakan perlu berlandaskan prinsip menjaga kepentingan rizab kawasan Melayu, walaupun ia mengambil masa yang lama.

“Jaminan oleh menteri yang lalu itu tidak mempengaruhi dasar yang akan dilaksanakan. Apa-apa yang membabitkan peruntukan besar mesti di bawa ke Kementerian Kewangan dan jemaah menteri meluluskan,” katanya.


Pengarang :