Petugas kesihatan melakukan pemeriksaan ke atas peserta program Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Suleiman, Klang pada 22 Oktober 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kesan awal penyakit bahaya, daftar saringan percuma di SELangkah

SHAH ALAM, 16 FEB: Warga Selangor yang ingin membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengesan awal penyakit boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) mulai semalam.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan saringan kesihatan percuma menerusi program Selangor Saring menyediakan pembiayaan bernilai RM3,000 bagi penyakit tertentu.

Beliau berkata saringan yang ditawarkan antaranya penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang, barah kolorektal, prostat, serviks dan payudara.

“Turut ditawarkan ialah saringan penyakit berkaitan mata seperti rabun, glaukoma dan retina, pemeriksaan gigi dan telinga serta perkhidmatan fisioterapi,” maklumnya di Facebook malam tadi.

Dr Siti Mariah menjelaskan saringan ditawarkan mengikut penilaian faktor risiko individu melalui borang saringan awal dalam aplikasi SELangkah.

Kerajaan Selangor meneruskan program Selangor Saring dengan menambah tiga lagi skop perkhidmatan, iaitu saringan telinga, pemeriksaan gigi dan perkhidmatan fisioterapi.

Program yang bermula tahun lalu menerima peruntukan keseluruhan RM2.6 juta, dengan 31,000 peserta disasar menerima manfaat di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).


Pengarang :