Petugas PKPS memasukan barangan ke dalam bag kitar semula yang di bawa oleh pembeli di Program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Seri Serdang di Taman Puchong Permai pada 15 Februari 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kesedaran guna beg sendiri ketika beli-belah di program jualan murah semakin tinggi

SUBANG JAYA, 15 FEB: Kesedaran orang ramai membawa beg sendiri ketika berbelanja di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang semakin tinggi.

Pembantu Am Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Siti Aishah Solaihah Abdul Halim Hapiz berkata ini bermakna, hebahan dilakukan pihaknya dan pejabat DUN sampai kepada rakyat.

“Kita berterima kasih kepada pihak pejabat DUN juga kerana membantu membuat hebahan memandangkan hari ini boleh kata setiap pembeli bawa beg sendiri dan kami sangat hargainya.

“Beg plastik hanya disediakan sehelai untuk pembelian barangan basah seperti ayam, daging atau ikan, jika pembeli perlukan lebih untuk barang lain mereka akan dicaj 20 sen,” katanya.

Beliau ditemui pada program JER peringkat DUN Seri Serdang di pekarangan Surau Ar-Ridhuan, Taman Puchong Permai, hari ini.

Katanya kerjasama erat antara pejabat DUN dan PKPS di JER peringkat DUN Seri Serdang hari ini sangat membantu melancarkan urusan jualan dan pembelian.

“Pihak DUN menyediakan kira-kira 15 sukarelawan untuk membantu proses jualan di sini dan ia berjalan dengan sangat lancar malah pembeli juga tidak perlu beratur lama,” katanya.

Pada program itu, PKPS menyediakan 500 ekor ayam (RM10 seekor), 300 pek daging pejal (RM10 per pek), 150 botol minyak masak 5kg (RM25), 300 kampit beras 5kg (RM10), 300 papan telur (RM10 sepapan) dan 300 pek ikan (RM6 per pek).


Pengarang :