Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir untuk membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Khazanah Nasional terajui pembentukan Tabung Warisan Negara

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Khazanah Nasional Bhd akan menerajui pembentukan Tabung Warisan Negara untuk menarik penyertaan swasta bagi memulihkan bangunan-bangunan warisan bersejarah.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini termasuk usaha pembangunan semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara dengan kerjasama syarikat ThinkCity.

“Syarikat ThinkCity juga akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil bahagian dalam usaha memaknakan semula kehidupan di pusat bandar melalui projek pengindahan lokasi tumpuan serta mengangkat potensi aset bersejarah dan kebudayaan.

“Sejumlah RM30 juta disediakan antaranya juga untuk meningkatkan daya huni perumahan awam di Kuala Lumpur,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan RM50 juta kepada Melaka dan Pulau Pinang untuk terus kekal dalam pemuliharaan tapak warisan dunia yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

– BERNAMA


Pengarang :