Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyerbu kilang kitar semula di Jalan Abdul Aziz, Ijok, Kuala Selangor pada 14 Februari 2023. Foto Facebook MPKS
PBTSELANGOR

Kilang kitar semula diserbu kali kedua, ingkar arahan penutupan

SHAH ALAM, 16 FEB: Ingkar dengan arahan notis penutupan sebelum ini, sebuah kilang kitar semula di Jalan Abdul Aziz, Ijok, Kuala Selangor diserbu sekali lagi kelmarin.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata premis terbabit dikesan meningkatkan operasi memproses buangan terjadual seperti bateri kering, tembaga dan papan litar plastik.

“Kilang tersebut diarahkan tutup serta-merta dan dikenakan kompaun kerana ingkar arahan notis penutupan sebelum ini.

“Dua unit penjana kuasa elektrik dan satu unit forklift (trak angkat susun) turut disita dalam operasi berkenaan,” menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook.

Kes disiasat mengikut UUK 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007.

MPKS menambah dua kompaun dikeluarkan kepada pemilik kilang kerana membiarkan bangunan atau tanah dalam keadaan kotor selain mengalirkan kumbahan pepejal ke parit berhampiran.

Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyerbu kilang kitar semula di Jalan Abdul Aziz, Ijok, Kuala Selangor pada 14 Februari 2023. Foto Facebook MPKS

Menurutnya, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut membantu proses pemotongan bekalan air di premis terbabit.

“Pemilik kilang dinasihatkan berpindah ke kawasan industri berat kerana aktiviti kitar semula e-sisa adalah bawah kategori industri berat.

“Jabatan Alam Sekitar juga dalam tindakan penyediaan kertas siasatan untuk tindakan undang-undang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” kata kenyataan itu.

Pada 19 Januari lalu, kilang di kawasan kampung itu diserbu termasuk disita MPKS kerana menimbulkan kacau ganggu bau di sekitar Ijok.


Pengarang :