Suasana di kaunter pendaftaran Hospital Putrajaya. Foto portal Hospital Putrajaya
AGENDANASIONAL

KKM tidak tetapkan kod pakaian di premis kesihatan kerajaan

SHAH ALAM, 15 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menetapkan kod pemakaian untuk orang awam atau pesakit yang menerima rawatan di premis kesihatan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menganggap perkara itu bukan kebimbangan utama dan tidak perlu dijadikan isu terutama dalam kes kecemasan, lapor Berita Harian.

“Pakaian tiada isu. Kalau kecemasan atau datang hospital tidak ada isu pakaian. Tetapi kalau kita nak pergi tempat-tempat agama contohnya masjid, kuil dan sebagainya mungkin ada isu pemakaian.

“Jadi kita telah pun membawa perkara ini, contohnya bila orang sakit datang ke hospital dia nak rawatan. Timbul sedikit kebimbangan yang tidak sepatutnya berlaku sama sekali,” katanya.

Beliau yang ditemui pada program Inisiatif Pembedahan Global di Pusat Perubatan Subang Jaya hari ini menambah teguran akan diberikan kepada pihak berkaitan jika isu sama berulang.

Sejak tahun lalu, tular isu orang ramai terutama waris yang mendakwa pernah dihalang pengawal keselamatan untuk melawat ahli keluarga di wad kecemasan akibat pemakaian tidak sesuai.

 


Pengarang :